Monday, January 7, 2008

Bersama-sama member sekelas OB dengan Prof Jo di Padang, Sumatera


Kenangan bersama member sekelas OB di Padang, Sumatera. Best jugak pegi ke sana. Jalan-jalan sambil melihat Universitas Padang. Kami pi Bukit Tinggi dan Padang .. memang seronok... apatah lagi tengok kaum Hawa membeli belah bagai nak rak...

Tempat tinggal masa belajor dulu








Masa belajor kat MUN dulu duduk dekat apartment universiti, best sorang sebilik (4 orang satu apartment). Teman tinggal dengan international student so no problem nak masak juadah.
Masa musim luruh ni lah rupanya, dedaun semua luruh... sejuk dah mula mencekam... tapi pemandangan memang cantik sangat, tak boleh nak cerita...

Gambor musim sejuk dan musim panas di down town St. John's, Newfoundland



Ni gambar down town bandar tempat teman belajor. Satu gambor masa musim sejuk dan satu lagi di musim panas...St. John's ni memang cantik sebab lautnya dan fiod-fiodnya (kalau belajar geografi dulu)

Gambor musim sejuk di St. John's



Gambar ni nampak macam best je sebab ada snow tapi tau tak sejuk nye tak terkata. Kalau diperhatikan betul-betul musim sejuk ni kotor sikit sebab basah and semua nya basah terutama stokin he..he..he..

Gambar tempat teman belajor dulu



Bila tengok gambar ni teringat masa belajor di Memorial University Of Newfoundland di St. John's, Newfoundland, Canada pada tahun 1987 hingga 1991. Teman nak ucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang menghantar teman ke sana untuk menimba ilmu dan pelbagai perkara yang tak akan dapat teman lupakan. Pengalaman selama 4 tahun di sana menempuh 4 musim memang tak akan dapat teman lupakan... Subhanallah..

Thursday, December 13, 2007

Ni cerita pasal Pulau Lagenda :: Langkawi





Cerita Sebuah Pulau Tua

KISAH wanita malang yang menjadi korban fitnah dipromosikan dalam destinasi pelancongan dalam dan luar negara. Namun, keistimewaan sejarah alam semula jadinya yang menakjubkan masih belum diketengahkan. Begitu juga dengan kisah legenda lain yang lebih hebat yang masih tidak diketahui ramai.
Langkawi umpama sebutir mutiara yang terletak antara 104 pulau, satu pembentukan geologikal yang menarik di Asia Tenggara. Langkawi lahir pada awal masa. Sejarah geologi dunia membuktikan alam semula jadi Langkawi tercipta 500 juta tahun, iaitu pada zaman Cambrian. Pada zaman itu, sebuah benua besar bernama Gondwana yang terletak di Kutub Selatan, berpecah menjadi cebisan tanah yang kecil kini boleh dijumpai di empat tempat di bumi, iaitu Afrika, Australia, India, dan Langkawi. Banjaran Gondwana terletak di barat daya Langkawi. Pembentukan batu Gondwana yang menakjubkan menunjak tinggi berdekatan Tanjung Batu, berdirinya gunung-ganang Mat Chinchang yang meliputi sebahagian daripada Banjaran Gondwana.

Langkawi adalah sebuah nama yang sarat dengan misteri, mitos dan legenda. Antara kisah legenda yang berkaitan dengan nama tempat di Langkawi termasuklah Gergasi Bertarung, Pulau Dayang Bunting, Mahsuri, Puteri Dayang Sari, Telani dan Telanai, Geroda dan Jentayu, dan Telaga Tujuh.

Pada abad ke-15, nama Lung-Ya-Kiou-Yi tercatat di sebuah carta yang dipercayai digunakan oleh Laksamana Cheng Ho ketika melawat Melaka pada tahun 1405. Pada kurun ke-16, pulau terpencil ini diberi pelbagai nama dalam peta zaman itu. Antaranya Langa, Lanka, Lansura, dan Langapura.

Jeneral Augustin De Beaulieu yang berkhidmat dengan Raja Louis XIV di Perancis pada tahun 1621 menyifatkan Langkawi sebagai Lancahui atau lada sulah. Dia kemudiannya menulis, "Tanahnya subur dengan buah-buahan, beras dan ternakan. Beberapa batang sungai menyediakan sumber air bersih, hutan luas dapat dilihat dan pantainya cantik serta berjuraian dengan teluk dan pulau-pulau kecil sekelilingnya".

Langkawi unik di sebalik pembangunannya yang pesat. Selangkah ke alam semula jadi Langkawi, muka buminya memberitahukan serta menceritakan asal usul kejadiannya. Bentuk fizikal gunung-ganang, pulau, gua, seakan-akan menyimpan himpunan cerita dan misteri yang tersendiri dan daripada dongeng dan hikayat jugalah kebanyakan tempat di Langkawi memperoleh namanya. Di barat laut pulau utama, tersergam Gunung Mat Chinchang yang mistik. Terbina dengan batuan yang paling tua di Asia Tenggara, dan di sinilah ditemui kesan fosil tertua berusia 500 juta tahun.

Suatu ketika dahulu dipercayai alam ini dikuasai oleh roh dan gergasi yang bernama Mat Chinchang dan Mat Raya yang juga merupakan pengawal pulau itu. Perselisihan bermula apabila mereka tidak bersependapat tentang pertunangan anak perempuan Mat Chinchang dan anak lelaki Mat Raya.

Apabila tiba hari perkahwinan, perselisihan pendapat itu masih belum dapat diselesaikan. Angkara ini mengundang pergaduhan sengit antara kedua-dua bapa pasangan pengantin.

Hari-hari yang berlalu menyaksikan perbalahan, pergaduhan, dan pertarungan. Dikatakan ketika bertarung, segala pinggan mangkuk, piring cawan, dan periuk belanga berterbangan di udara dan melanting ke merata tempat. Dalam keadaan yang serba gawat itu, sebuah belanga besar berisi kuah gulai tercampak ke suatu kawasan yang kemudiannya dinamai Belanga Pecah.

Pekan Kuah, bandar utama Langkawi, mendapat namanya daripada peristiwa kuah gulai yang tertumpah mengenangi kawasan itu. Periuk yang berisi air panas tertumpah ke tempat yang dinamai Ayer Hangat, lantas menyerap ke sebuah paya yang kini dikenali Kisap. Selat Cincin dipercayai berasal daripada pemegang jag air yang terpelanting membelah Pulau Langkawi dan Pulau Terutau.

Pergaduhan gergasi yang berlanjutan menyebabkan kilat dan petir sambar-menyambar, sehingga sekelip mata kedua-duanya menjelma menjadi gunung. Mat Sawar yang cuba meleraikan pergaduhan itu gagal sehingga bertukar rupa menjadi bukit yang puncaknya terbelah dua.

Hikayat Merong Mahawangsa turut meriwayatkan kisah yang berlaku di pulau legenda ini. Antaranya, pertarungan dengan jentayu. Dua ekor burung sakti bertarung dengan dahsyat. Akhirnya jentayu tewas.

Pulau Dayang Bunting mendapat nama daripada kisah gergasi sakti yang bernama Dayang Bunting. Pulau ini seimbas lalu menyerupai gergasi hamil yang terlena.

Pulau Rebak pula mendapat namanya daripada dewa yang bernyanyi dan bermain alat bunyi-bunyian di dataran angin. Tiba-tiba sepasang rebab terjatuh ke dalam laut, menjelma menjadi Pulau Rebak Kecil dan Pulau Rebak Besar.

Komposisi geologikal utama pulau ini ialah granit, batu kapur, syal, dan batu lanar. Pelancong sering terpesona dengan pemandangan Pantai Pasir Hitam berhampiran Air Hangat dan Kuala Teriang tetapi penerangan geologikalnya amat mudah. Pantai itu terbentuk hasil paduan beberapa mineral, seperti tourmaline, ilmenite, dan zirkon, dengan batuan granit menyebabkannya berwarna hitam.

Langkawi tidak memerlukan muzium untuk menceritakan kisahnya. Cukup dengan nama dan rupa bentuk fizikal unik dan menakjubkan. Jika anda pelancong yang mencintai alam semula jadi, jangan terpengaruh oleh lokasi cadangan agensi pelancongan. Sebaliknya mengembaralah ke pulau kecil sekelilingnya yang menyembunyikan puluhan gua granit dan batu kapur yang membentuk struktur unik dan mengagumkan.

Tuesday, December 11, 2007

Member ni cerita sejarah Pulau Pangkor



Sejarah Pulau Pangkor
KOTA BELANDA adalah gelaran yang diberi oleh orang-orang Melayu kepada runtuhan Pulau Pangkor. Bagaimanapun, rekod-rekod merujuk kepada binaan tersebut sebagai Kota Dindingh, sempena nama Sungai Dinding di pantai barat Semenanjung dalam Negeri Perak.
Perak merupakan sebuah negeri pengeluar timah yang paling utama di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu dan Syarikat Hindia Timur Belanda berhasrat mengawal dan mengekalkan monopoli perdagangan komoditi tersebut. Kapal-kapal perang dan kapal-kapal dagang Belanda bertaburan di perairan Perak pada hampir sepanjang kurun ketujuh belas dan kelapan belas.
Ada sebab-sebab strategik mengapa Belanda menempatkan kapal-kapal mereka di sini. Perak merupakan pintu masuk utama ke Aceh manakala negeri Sumatera tersebut adalah musuh Belanda. Dengan alasan ini sebuah tapak pengawasan diasaskan di Teluk Gedung pada tahun 1670 untuk memberi sokongan dan bantuan kepada kapal-kapal yang membuat sekatan-sekatan di laluan perairan Selat Melaka. Satu lagi sebab ialah untuk melemahkan saingan orang-orang British yang juga aktif berdagang di kawasan ini.
Mengikut laporan Gabenor Belanda Balthasar Bort dalam tahun 1678: “pada ketika ini 59 orang berada di Perak, terbabit dengan usaha sekatan di tempat itu dan mereka ini ditempatkan di Pulau Dinding, yang mana Syarikat Yang Dihormati memilikinya, menetap dalam sebuah kubu yang diperbuat daripada kayu berbentuk segiempat, dilengkapi 9 buah meriam.”
Di antara 59 orang itu ialah seorang saudagar yang menjadi penyelia, seorang kapten, seorang jurukira, tiga pembantu, tiga pegawai, dua doktor, lapan pengawal dan 40 kelasi. Selain kubu tersebut mereka juga memiliki kapal layar dan perahu ‘Laren’, ‘Cacap’ dan ‘Dindingh’.
Orang-orang Belanda ini, walaupun mereka turut berdagang dengan orang-orang Melayu, mereka kurang percaya kepada penduduk tempatan ini. Kerana takut kepada orang-orang Melayu mereka tidak berani meninggalkan kubu mereka terlalu jauh kerana hanya di kubu itu sajalah mereka berasa selamat.
Beberapa tahun kemudian kubu ini diperkasakan dengan binaan bangunan batu dan dilengkapi 12 hingga 14 buah meriam.
Seorang peneroka dan pelayar British, William Dampier, menceritakan satu peristiwa: “Gabenor, tetamu-tetamunya dan beberapa orang pegawai baru sahaja hendak makan apabila seorang soldadu bertempik, ‘Melayu!’ Sepantas kilat gabenor itu melompat keluar melalui tingkap, untuk segera berlindung di kubu. Pegawai-pegawai pun berebut-rebut, diikuti orang-orang suruhan, untuk cepat sampai ke kubu: ada yang keluar ikut tingkap dan ada yang keluar ikut pintu. Tiga orang tetamu gabenor terpegun dan terpinga-pinga ditinggalkan di situ.
“Di kubu, mereka menembak ke arah laut bertalu-talu memberi isyarat kepada orang-orang Melayu bahawa mereka sudah bersedia untuk mempertahankan diri, tetapi musuh yang ditakuti tidak juga sampai-sampai.
“Sebenarnya, berapa orang soldadu Belanda yang sedang memancing tidak jauh dari teluk itu telah diserang oleh orang-orang Melayu yang bersenjatakan keris dan lembing. Beberapa orang daripada mereka telah dibunuh sementara yang lainnya terjun ke laut dan berenang ke darat. Salah seorang yang terselamat inilah yang bertempik begitu kuat sehingga menakutkan gabenor yang baru sahaja hendak makan.
“Kami berjaga sepanjang malam dengan semua senjata siap sedia untuk digunakan. Tetapi pada malam itu hujan lebat dan saya tidak takut sangat diserang oleh orang-orang Melayu kerana menurut salah seorang kelasi yang kami ambil dari Melaka, orang-orang Melayu ini tidak akan menyerang di dalam hujan. Keesokan paginya kami pergi mencari musuh dengan kapal di sekeliling pulau tetapi tidak menjumpai mereka. Selepas itu kami pun pulang dan berlabuh.”
Pada tahun 1690 kubu Belanda ini telah diserang sekali lagi oleh Panglima Kulup dan pengikut-pengikutnya. Semua orang Belanda telah terbunuh di dalam serangan ini. Pada 24 Jun 1693 sebuah arahan telah dikeluarkan bahawa askar-askar tidak lagi ditempatkan di Pulau Dinding (Pangkor) dan sebuah tugu dibina dengan meletak lambang Persekutuan Syarikat Hindia Timur dan lambang Wilayah Bersekutu sebagai tanda hakmilik Belanda. Pada 1695, 1721 dan 1729 arahan-arahan dikeluarkan untuk membaiki tugu ini.
Pada 20 November 1745 Gabenor-Jeneral Gustraaf Willem, Baron van Imhoff mengarahkan pembinaan semula kota di Pulau Dinding: dikawal oleh sebuah ketumbukan yang anggotai 30 orang Eropah dan 30 orang berketurunan Asia (kecuali orang-orang Bugis). Tetapi pada 22 Oktober 1746, Ary Verbrugge telah dihantar untuk memastikan Sultan membenarkan sebuah kubu dibina di hulu sungai dan bersetuju untuk menjual timah kepada Syarikat. Sultan Muzaffar Shah III telah menandatangani perjanjian ini pada 25 Jun 1747. Pada 18 Oktober 1748 van Imhoff mengarahkan ketumbukan di Pulau Dinding dipindahkan ke kubu yang baru ini.
Dipetik dan diterjemah oleh Ibrahim Nawawi daripada rencana tulisan Sabri Zain (www.sabrizain.org.uk)